Translate

Tuesday, August 1, 2017

Projek rumah teres penuhi permintaan belia luar bandar

DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) membangunkan projek pembangunan bercampur meliputi 43 buah rumah teres setingkat dan dua lot rumah kedai di Bandar Ketengah Jaya di sini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek perumahan tersebut dibina di tanah seluas 5.7 hektar berhampiran persimpangan masuk tanah rancangan tersebut.

Beliau berkata, pembinaan projek rumah teres setingkat kos rendah yang setiap satunya seluas 65.03 meter persegi berkenaan dijangka bermula Oktober depan.

“Projek perumahan mampu milik tersebut yang mempunyai tiga bilik tidur itu disasar siap sepenuhnya dalam tempoh setahun.

“Ia bagi memenuhi permintaan tinggi golongan belia luar bandar di Bandar Ketengah Jaya untuk memiliki rumah sendiri,” katanya selepas merasmikan upacara pecah tanah projek rumah teres tersebut di Bandar Ketengah Jaya dekat sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi KETENGAH, Datuk Din Adam dan Pengurus Besar KETENGAH, Omar Ismail.

Dalam majlis sama, Ismail Sabri turut menyerahkan kunci sebuah bangunan rumah kedai dua tingkat  bernilai RM2.36 juta yang turut dibangunkan KETENGAH.

Ismail Sabri berkata, permohonan bagi rumah teres yang berharga kurang RM100,000 setiap satu itu kini sudah dibuka dan borangnya boleh diambil di pejabat KETENGAH.

Menurut beliau, konsep rumah mampu milik tersebut dijangka diperluaskan di kawasan-kawasan lain di bawah pentadbiran KETENGAH seperti Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Bukit Besi dan Ceneh Baharu.

Dalam pada itu,  Ismail Sabri memberitahu, bangunan rumah kedai dua tingkat yang terletak bersebelahan dengan projek pembinaan rumah teres berkenaan bakal dijadikan pusat hentian setempat kepada Wilayah KETENGAH.

“Kedudukannya yang strategik dan berdekatan dengan susur keluar Plaza Tol Paka, Lebuhraya Pantai Timur 2 turut mampu menjadi sebagai pemangkin kepada perkembangan Bandar Ketengah Jaya.

“Berdasarkan perancangan awal, tingkat atas bangunan rumah kedai itu yang mengandungi lapan bilik akan di­sewa sebagai inap desa,” katanya.

No comments:

Post a Comment