PRESTASI kurang konsisten pasukan berstatus kelab, T-Team terus memeningkan pengendalinya, Rahmad Darmawan (gambar).
Pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin, T-Team terlalu mudah diratah Melaka United 5-1 walaupun mereka masih segar dengan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Negeri Sembilan pada kempen Piala Malaysia di venue sama, Selasa lalu.
Rahmad berkata, anak-anak buahnya sebenarnya telah beraksi baik sehingga mampu mendahului Melaka United 1-0 pada babak pertama, namun sebaliknya berlaku pada babak kedua sehingga dibolosi lima gol.
“Pemain-pemain saya bermain baik pada separuh masa pertama tetapi moral dan semangat mereka terus runtuh sebaik pasukan pelawat menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-49.
“Saya paling kesal dengan sikap segelintir pemain yang mula menyalahkan antara satu sama lain sedangkan aksi di atas padang masih belum berakhir hingga menyebabkan mereka kehilangan fokus untuk bermain,” kata Rahmad ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.
Beliau berkata, biarpun ada dalam kalangan mereka melakukan kesilapan, sikap menyalahkan antara satu sama lain sepatutnya tidak berlaku kerana ia boleh menjatuhkan moral pasukan.
Pengendali berpengalaman dari Indonesia itu berkata, pemain-pemainnya sepatutnya terus memberi saingan dan bukannya menyalahkan sesama sendiri.
No comments:
Post a Comment