KUALA TERENGGANU - Rakyat Terengganu berkelayakan kini sudah boleh memohon Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah melibatkan 5,939 lot tanah di seluruh negeri ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, permohonan tersebut boleh dilakukan secara atas talian melalui https//tanahrtb.terengganu.gov.my dan http://pttrg.terengganu.gov.my mulai pukul 5 petang hari ini.
"Sebanyak 50 peratus daripada 5,939 lot tanah yang ditawarkan dibuka kepada golongan belia berusia 21 hingga 40 tahun manakala selebihnya pula untuk mereka berkelayakan yang berumur 41 tahun ke atas.
"Antara syarat yang perlu dipenuhi bagi memohon skim Khas RTB tersebut ialah anak jati Terengganu, berkahwin, berpendapatan isi keluarga tidak melebihi RM3,500 sebulan, berdaftar sebagai pemilih pilihan raya di negeri ini dan belum pernah memiliki tanah serta rumah," katanya selepas merasmikan Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ahmad Razif berkata, sebanyak 5,939 lot tanah yang dibuka untuk permohonan itu meliputi Setiu (3,362), Dungun (1,332), Kemaman (928), Kuala Terengganu (109), Marang (71), Besut (69) dan Kuala Nerus dan Hulu Terengganu masing-masing 34 lot. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment