Translate

Thursday, August 31, 2017

Remaja terlantar terima bantuan perubatan MAIDAM

TARIKH 2 Mei 2011 sudah pasti menjadi detik hitam dan tidak mampu dilupakan oleh Raman Abdullah, 62, dan isterinya, Nik Aini Mohd., 56, hingga ke akhir hayat.

Itulah hari terakhir mereka melihat keletah anak mereka, Iman Adam, 13, yang bukan sahaja periang dan cerdik malah berupaya menghafaz beberapa surah al-Qurah termasuk Yasin.

Kesemua kebahagian itu diragut sekelip mata selepas Iman Adam yang merupakan anak bongsu dari sembilan beradik tersebut dirempuh sebuah motosikal sewaktu melintas jalan ke sebuah kedai di Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu pada pukul 8 pagi.

Rempuhan kuat itu menyebabkan kanak-kanak tersebut yang sewaktu itu berusia lapan tahun terlantar koma di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selama tujuh bulan.

Biarpun sedar dari koma kemudiannya, kehidupan Iman Adam tidak seperti dahulu.

Dia bergantung hidup kepada tiga tiub di dalam badannya yang disambung ke jantung, buah pinggang dan perut untuk sepanjang hayat.

Tambah memilukan, biarpun lima tahun berlalu, dia masih terlantar di atas katil sepanjang masa dan sering diserang sawan berikutan kehilangan sebahagian tempurung kepala akibat peristiwa dilanggar lari berkenaan.

Bapanya, Raman yang merupakan seorang pesara memberitahu, dia terpaksa memasang penghawa dingin selama 24 jam untuk mengawal suhu bilik sebagai ikhtiar bagi mengurangkan risiko anak bongsunya itu terkena sawan.

Menurutnya, dia turut menyediakan kemudahan katil mudah laras dan peti dingin beku khas untuk menyimpan ubat-ubatan yang diperlukan oleh Iman Adam yang menelan kos ribuan ringgit.

"Saya bersyukur kesudian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang sudi menghulurkan bantuan bekalan susu khas untuk anak saya itu.

"Setiap bulan, Maidam akan membekalkan 20 tin susu khas tersebut yang berharga lebih RM100 setin untuk kegunaan Iman Adam," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Kebor Besar, Manir, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Raman berkata, memandangkan beliau sekeluarga kini bergantung kepada wang pencen, bantuan perubatan daripada Maidam yang menelan kos lebih RM2,000 sebulan itu sedikit sebanyak telah meringankan kos rawatan Iman Adam.

"Susu tersebut akan dibancuh dan disalurkan menerusi tiub yang disambung ke perutnya. Itulah satu-satunya makanan yang boleh diterima Iman Adam sejak ditimpa kemalangan tersebut," ujarnya sedih.

No comments:

Post a Comment