Translate

Wednesday, August 23, 2017

‘Saya bersyukur, bangga sumbang emas buat negara’

SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa syukur dan bangga dengan kejayaan pasukan endurance negara merangkul kedua-dua pingat emas yang dipertandingkan dalam disiplin tersebut pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, Setiu semalam.

Baginda bertitah, kejayaan tersebut merupakan hasil kerja keras dan dedikasi kesemua anggota pasukan endurance negara termasuk mereka yang berada di belakang tabir.

“Pertamanya, saya bersyukur kepada Allah kerana semuanya selamat. Saya gembira kejohanan ini (endurance) dapat diadakan di Terengganu dan mendapat sambutan orang ramai.

“Saya juga rasa bangga dan berterima kasih kepada kerajaan negeri (Terengganu) yang telah memberi sokongan,” titah baginda selepas menamatkan perlumbaan sejauh 80 kilometer semalam.

Sultan Mizan bertitah, baginda berkenan untuk membawa cabaran negara dalam acara endurance pada KL2017 kerana kecintaan kepada sukan ber­kenaan dan kebetulan Terengganu pula terpilih sebagai venue pertandingan.

“Saya pernah mewakili negara dalam Piala Dunia (endurance). Ada kriteria yang perlu diikuti sebelum dipanggil mewakili negara (KL2017) mengikut sistem mata,” titah baginda.

Berkongsi pengalaman sewaktu bertanding, Sultan Mizan bertitah, baginda yang menunggang kuda RTES Annaversary bergerak bersama dua atlet negara lain iaitu Mohd. Bulkhari Rozali dan Mohammad Fuad Hashim hampir sepanjang masa perlumbaan.

“Kami bergerak sebagai satu pasukan dan berbual-bual semasa menunggang, jadi tidak berasa bosan,” titah baginda.

Baginda bertitah, kuda RTES Annaversary berusia 15 tahun yang ditunggangi baginda telah dipelihara sejak lapan tahun lalu.

“Saya pernah memenangi beberapa kejohanan sebelum ini dengan menunggang kuda Annaversary,” titah baginda.

No comments:

Post a Comment