Translate

Saturday, August 19, 2017

Tauke balak didakwa rasuah


Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU – Seorang tauke balak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan merasuah seorang pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu dua bulan lalu.

Chow Kwee Chai, 47, dari Taman Bersekutu, Kemaman membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan pertuduhan, Kwee Chai didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM2,000 kepada seorang penolong pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu di tepi jalan di Binjai, Kemaman.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan agar tidak dikenakan tindakan undang-undang terhadap balak-balak yang terdapat di dalam sebuah lori milik tertuduh kerana tidak mempunyai cop tukul hasil.

Ketiadaan cop tukul hasil me­nunjukkan balak-balak terbabit dikeluarkan tanpa pembayaran cukai yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Azman membenarkan dibebaskan dengan wang jaminan RM7,000 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 14 September depan.

Kwee Chai membayar wang jaminan tersebut.

No comments:

Post a Comment