Translate

Monday, August 28, 2017

Lagi dua bot nelayan ditahan APMM, aset dan hasil laut RM2.4 juta dirampas

KUALA TERENGGANU - Pencerobohan nelayan Vietnam di perairan negara semakin menjadi-menjadi dengan penahanan dua lagi bot dari negara itu oleh penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 100 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu dekat sini kelmarin.
Penahanan kedua-dua bot nelayan itu merupakan ke-19 melibatkan nelayan warga Vietnam di perairan Kuala Terengganu sejak awal tahun ini dengan jumlah keseluruhan rampasan setakat ini mencecah RM60 juta.
Pengarah Maritim Daerah Kuala Terenggau, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, risikan APMM mendapati lambakan nelayan Vietnam yang mencerobohi perairan negara disebabkan kekurangan sumber di perairan negara mereka selain peranan petualang disyaki terdiri daripada rakyat tempatan.
Beliau berkata, dalam kes terbaru ini, kapal peronda APMM yang sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan dua bot nelayan dinaiki 21 awak-awak warga asing dipercayai warga Vietnam itu yang sedang melakukan penangkapan ikan secara pukat ganding pada kedudukan 100 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.
"Sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa APMM, mereka segera memutuskan pukat ganding dan memecut laju bot nelayan masing-masing namun berjaya juga dipintas bot peronda kami kira-kira setengah jam kemudian.
"Mereka menggunakan modus operandi mengecat bot nelayan masing-masing seperti milik nelayan tempatan selain mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Terengganu namun gagal mengaburi mata pasukan penguat kuasa APMM yang sudah masak dengan taktik bot klon berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment