Translate

Tuesday, August 29, 2017

MAIDAM bantu bina bengkel jahitan Roslizah

SEJAK 20 tahun lalu, Roslizah Abd. Wahab, 41, tekun mengambil upah menjahit pakaian sebagai mata pencarian untuk menambah pendapatan keluarga.

Kemahiran menjahit tersebut diperolehi ibu kepada empat orang anak yang berusia dalam lingkungan lima hingga 18 tahun itu selepas menyertai kursus anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.

"Bersandarkan pada sijil asas membuat pakaian terbabit, saya memberanikan diri mengambil upah menjahit baju kurung, kebaya, jubah dan baju Melayu daripada jiran-jiran.

"Pada mulanya, saya menggunakan ruang kecil di hadapan bilik tidur utama untuk menempatkan mesin jahit bagi menyiapkan tempahan yang diterima tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Hangus, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Roslizah berkata, berkat pemasaran dari mulut ke mulut, pelanggan yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjahit pakaian mereka semakin bertambah dari setahun ke setahun.

Begitupun, penambahan tempahan itu menjadikan beliau tidak menang tangan sekali gus menyebabkan beberapa tempahan yang diterima terpaksa ditolak.

"Saya juga mengalami kesukaran untuk meletakkan beberapa peralatan menjahit yang dibeli untuk melicinkan kerja akibat ruang yang semakin sempit.

"Sehubungan itu, saya mencuba nasib memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk membina bengkel jahitan pada tahun lalu," ujarnya.

Roslizah memberitahu, MAIDAM yang sentiasa memberi sokongan penuh kepada usahawan terdiri daripada golongan asnaf seperti beliau tidak menunggu lama untuk meluluskan permohonan berkenaan.

Menurut beliau, pembinaan bengkel jahitan yang menelan kos sebanyak RM10,000 itu telah siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu.

"Alhamdulillah, syukur dengan bantuan yang telah dihulurkan MAIDAM. Saya kini boleh menjahit dengan lebih selesa dan perniagaan semakin maju.

"Sekarang bukan sahaja mendapat tempahan daripada individu, saya juga mula diberi kepercayaan untuk menjahit baju seragam daripada agensi kerajaan seperti jururawat," katanya.

No comments:

Post a Comment