Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dikendalikan syarikat konsesi, PLUS Expressways Berhad menerusi anak syarikatnya LPT2 Sdn. Bhd. bakal melaksanakan sistem transaksi pembayaran tol secara elektronik sepenuhnya mulai 14 Ogos depan.
Pengurus Besar LPT2 Sdn. Bhd., Husni Md. Yusuf berkata, pelaksanaan itu menjadikan LPT2 sebagai lebuh raya ke-31 dan terakhir yang menggunakan sistem pembayaran tol tanpa tunai tersebut di negara ini.
Beliau berkata, sistem transaksi secara elektronik menggunakan kad Plusmiles, Touch n Go atau SmartTag berkenaan bakal melibatkan 10 plaza tol yang terdapat di LPT2 iaitu Cheneh, Chukai, Kijal, Kerteh, Paka, Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemung dan Kuala Terengganu.
“Buat masa ini, LPT2 dilalui oleh 14,000 pengguna yang majoritinya terdiri daripada Kelas Satu (kenderaan persendirian) setiap hari dan seramai 63.8 peratus pengguna lebuh raya ini sudah membayar tol dengan menggunakan sistem transaksi elektronik.
“Sehubungan itu, kita menjangkakan kebanyakan pengguna sudah bersedia dan pelaksanaan sistem transaksi tol secara elektronik sepenuhnya pada pertengahan bulan depan akan berjalan dengan lancar,” katanya pada taklimat media berhubung pelaksanaan sistem transaksi elektronik tersebut di sini semalam.
Husni berkata, sistem transaksi tol secara elektronik sepenuhnya itu disasar dapat mengurangkan sekurang-kurangnya 90 peratus kesesakan di LPT2 yang biasanya berlaku pada musim perayaan dan cuti persekolahan.
No comments:
Post a Comment