Translate

Tuesday, August 29, 2017

Hukuman penjara bekas pemain T-Team kekal

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak rayuan seorang bekas pemain skuad Piala Presiden T-Team yang sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada tahun lalu atas pertuduhan memberi keterangan palsu pada perbicaraan kes mengatur perlawanan bola sepak pada tahun 2012.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz memutuskan Mohd. Azuan Hussein, 25, kekal menjalani penjara selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen, Murtazadi Amran tidak melakukan sebarang kekhilafan sewaktu menjatuhkan hukuman tersebut pada 10 Mac 2016.

Zainal Azman memerintahkan tertuduh agar menjalani hukuman penjara dua tahun berkenaan bermula semalam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Shah Abdul Samat manakala Mohd. Azuan diwakili peguam bela, Kamaruzaman A. Wahab.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Azuan didakwa memberi keterangan yang tidak selaras ketika menjadi saksi dalam perbicaraan kes bekas jurulatih T-Team, K. Rajendran dan Sufian Ngah di hadapan Murtazadi di Mahkamah Sesyen 1 Kuala Terengganu antara 10 pagi hingga 1 petang pada 3 Disember 2012.

Tertuduh didakwa mengikut  Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment