Translate

Friday, August 25, 2017

Waspada ancaman tebuan di Terengganu

SEPANJANG bulan Ogos ini, empat kes kematian membabitkan empat kanak-kanak akibat disengat tebuan telah direkodkan di seluruh Terengganu.

Insiden menyedihkan itu bermula dengan kes kematian Muhammad Adrian Aiman Mohd. Rosmin, 8, yang maut selepas disengat 60 ekor tebuan yang bersarang di atas pokok gelam berdekatan rumahnya di Kampung Benting Lintang, Besut.

Empat hari kemudian dua beradik, Iffriah Darwisha Abdul Wahab Al Hadi, 3, dan kakaknya, Irdina Batrisyia, 8, pula menjadi mangsa sengatan tebuan yang bersarang di kawasan semak juga berhampiran rumah mereka.

Iffriah Darwisha meninggal dunia beberapa jam selepas serangan itu manakala kakaknya dua hari kemudian sewaktu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Mangsa keempat, Puteri Nur Aisyah Azahar, 8, pula maut apabila disengat 30  ekor tebuan yang bersarang di premis kedai makan tinggal bersebelahan rumahnya di Kampung Lay Out, Tok Has, Besut pada Khamis lalu.

Kesemua insiden tersebut mempunyai persamaan iaitu kanak-kanak terbabit diserang tebuan sewaktu asyik bermain berhampiran kawasan rumah tanpa menyedari bahaya menanti.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, tebuan yang biasa terdapat di negara ini adalah daripada spesies tanah dan kunyit. Serangga tersebut hidup secara koloni dan akan membina sarang di lokasi yang mempunyai banyak sumber makanan.

“Tebuan seperti juga lebah mula aktif mencari makanan dan membina koloni selepas musim tengkujuh berakhir iaitu mulai Februari lalu.

“Serangga berbisa itu boleh membina sarang di pokok, tanah dan premis bangunan yang biasanya berhampiran dengan sumber makanan utamanya iaitu debunga,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Che Adam berkata, sejak awal tahun ini, APM Terengganu telah menerima 2,326 aduan orang ramai berhubung kewujudan sarang tebuan berhampiran rumah masing-masing.

Beliau berkata, permohonan bantuan untuk memusnahkan sarang tebuan itu didapati semakin mening­kat mulai Mei dengan 407 kes, Jun (510) dan Julai (851).

“Kebanyakan aduan itu diterima dari daerah Besut, Dungun, Kemaman dan Marang.

“Kita sentiasa bersedia untuk menambah petugas bagi membantu orang awam membuang sarang tebuan yang berkemungkinan mampu mengancam ke­selamatan dan nyawa mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, Roslee Daud berkata, insiden empat kanak-kanak negeri itu maut akibat disengat tebuan pada bulan ini sahaja amat mendukacitakan.

Beliau berkata, ia amat membimbangkan dan perlu menjadi iktibar agar orang ramai prihatin dan sentiasa memeriksa kemungkinan wujud sarang tebuan di kawasan rumah masing-masing.

“Mereka perlu melaporkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan pemusnahan habitat serangga itu dengan segera.

“Empat kes kematian akibat sengatan tebuan di Terengganu pada bulan ini sahaja agak drastik kerana hanya dua kes sama direkodkan pada tahun lalu,” katanya.

Roslee berkata, sengatan tebuan pada kadar yang tinggi sangat berbahaya kerana bukan sahaja mampu meragut nyawa kanak-kanak malah orang dewasa.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Muhammad Omar pula menasihatkan orang ramai yang terkena sengatan tebuan agar segera mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Menurut beliau, racun sengatan tebuan sekiranya dibiarkan berlarutan boleh merebak cepat ke dalam darah sekali gus mengundang kerosakan organ dalaman yang kemudiannya membawa risiko kematian.

“Sekiranya seseorang diserang tebuan mahupun lebah, tutup kepala dengan baju dan segera berlari pantas ke tempat tertu­tup seperti rumah dan kende­raan untuk mendapatkan perlindungan.

“Jika sudah disengat pula, sebaiknya tempat gigitan tebuan itu ditekap dengan ais bagi mengecutkan saluran darah bagi  melambatkan serapan racun sebelum segera ke hospital. 

No comments:

Post a Comment