Translate

Tuesday, August 22, 2017

Pengedar dadah diberkas di Kuala Besut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


BESUT - Seorang lelaki disyaki pengedar dadah berjaya diberkas polis dipercayai sewaktu sedang menunggu pelanggan di Kuala Besut dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.01 pagi itu, tiga jenis dadah iaitu heroin, Erimin 5 dan pil kuda yang dianggarkan bernilai RM400 ditemui sewaktu suspek berusia 38 tahun diberkas.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan di sekitar pekan Kuala Besut telah terserempak dengan lelaki itu dalam keadaan mencurigakan.
"Sebaik menyedari kehadiran anggota polis terbabit, suspek tiba-tiba panik dan bertindak melarikan diri. Sewaktu dikejar anggota polis, dia didapati telah mengeluarkan sebuah beg kecil berwarna kelabu dari poket kanan seluarnya.
"Belum sempat suspek mencampakkan beg kecil tersebut, dia berjaya diberkas anggota polis terlibat," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment