Oleh MOHD. AZLI ADLAN
SKUAD Terengganu bakal bertandang ke Johor Bahru bagi mengharungi aksi kelima peringkat Kumpulan D kempen Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini dengan perasaan berbelah bahagi.
Pasukan dari Pantai Timur tersebut seolah-olah mahu mengangkat bendera putih lebih awal memandangkan misi untuk mara ke peringkat suku akhir terlalu tipis berikutan kekalahan dengan pendahulu kumpulan, Selangor pada Sabtu lalu.
Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, skuad Penyu berkemungkinan besar tidak menurunkan barisan terkuat dengan merehatkan beberapa pemain utama pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunus, Larkin itu nanti.
Bekas pengendali Felda United itu berkata, beliau mahu anak-anak buahnya memberi fokus sepenuhnya terhadap pertemuan Liga Premier menentang Kuantan FC di Stadium Darul Makmur Kuantan, Jumaat depan.
“Ini bukan bermakna saingan Piala Malaysia tidak penting buat kami, tetapi pertemuan dengan Kuantan FC pada 4 Ogos ini (Jumaat) lebih mustahak dan perlu diutamakan.
“Andai menang dengan Kuantan FC nanti, ia akan mencerahkan peluang kami memburu slot ke Liga Super kerana pada masa ini, saingan melibatkan kelompok teratas Liga Premier sangat sengit dan sudah hampir ke kemuncaknya,” kata Irfan kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Irfan juga memberitahu, misi untuk kembali beraksi di Liga Super pada musim depan merupakan matlamat utama skuad kendaliannya musim ini.
Begitupun, pengendali berpengalaman tersebut menegaskan, biarpun tidak tampil dengan kesebelasan utama, ia tidak bermaksud Terengganu akan bermain sambil lewa.
“Saya tidak kisah apa pun keputusannya di Larkin nanti, tetapi pemain-pemain saya harus mempamerkan persembahan terbaik sewaktu berhadapan dengan JDT kerana kami perlu juga menjaga moral pasukan,” katanya.
Terengganu kini berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan tiga mata di belakang pendahulu, Selangor yang sudah melayakkan diri ke suku akhir dengan 10 mata manakala JDT di tempat kedua dengan tujuh mata.
Sarawak pula di tangga tercorot kumpulan dengan mengutip satu mata.
No comments:
Post a Comment