Translate

Tuesday, August 1, 2017

Pusat Rehabilitasi RTC AMBS bagi warga Wilayah KETENGAH

DUNGUN –  Kemudahan kesihatan buat penduduk Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bertambah baik dengan pembukaan sebuah pusat rehabilitasi di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dekat sini sejak Januari lalu.

Timbalan Pengerusi KETENGAH, Datuk Din Adam berkata, pusat rehabilitasi yang dikendalikan Jabatan Kesihatan negeri tersebut mendapat sambutan baik dengan purata 35 pesakit sebulan.

“Sebelum ini, penduduk Wilayah KETENGAH meliputi AMBS, Bandar Ketengah Jaya, Bukit Besi, Seri Bandi dan Ceneh Baharu perlu ke bandar Dungun yang terletak lebih 30 kilometer untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan penyakit kronik.

“Kewujudan pusat rehabilitasi yang beroperasi Ahad hingga Khamis itu telah mengurangkan beban penduduk wilayah ini dari segi perbelanjaan dan masa bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” katanya selepas menyaksikan penyerahan sebuah van kepada pusat rehabilitasi di Bandar Ketengah Jaya dekat sini semalam.

Upacara penyerahan van untuk kegunaan Pusat Rehabilitasi RTC AMBS itu di­sempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Turut hadir Pengurus Besar KETE­NGAH, Omar Ismail.

Din berkata, van berharga RM158,600 sumbangan KETENGAH tersebut akan digunakan untuk membawa pesakit terutama yang memerlukan bantuan khas.

Beliau berkata, selain itu, pusat rehabilitasi tersebut turut menerima peralatan sokongan berupa tiga buah katil khas.

“Buat permulaan, kesemua katil khas itu akan ditempatkan di rumah tiga pesakit kronik yang menetap di sekitar Bandar Ketengah Jaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment