Translate

Monday, January 23, 2017

Ugut janda dengan pistol

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Aduan seorang janda muda tentang ugutan bermotifkan cemburu bekas suaminya menggunakan sepucuk pistol pada akhir September tahun lalu telah membongkar kegiatan jenayah yang dilakukan lelaki itu bersama dua rakannya selepas mereka ditahan polis minggu lalu.
Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 29 hingga 45 tahun ditahan di sekitar daerah Besut.

Ekoran penahanan itu, polis bukan sahaja berjaya merampas sepucuk pistol yang dipercayai digunakan untuk mengugut wanita terbabit malah turut menjumpai besi berantai, sabit dan kekunci L yang biasa digunakan untuk jenayah samun dan kekerasan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, sebelum ini, polis menerima aduan perbuatan suspek utama berusia 29 tahun mengugut untuk menembak bekas isterinya berusia 18 tahun pada 28 September tahun lalu.

“Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah klinik di Jertih, Besut pada pukul 9.20 malam dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu suspek setelah bekas isterinya menjalin hubungan de­ngan seorang pe­raih getah beku berusia 24 tahun.

“Pertengkaran antara suspek dengan bekas isteri dan teman lelakinya berakhir dengan cermin hadapan kereta Naza Ria milik peraih getah beku itu dipecahkan.

“Sebelum beredar, suspek sempat mengugut untuk me­nembak mereka dengan sepucuk pistol yang terselit di pinggangnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Rosli berkata, berikutan aduan itu, polis berusaha menjejak suspek dan akhirnya berjaya memberkasnya di Besut pada 8.30 pagi, 11 Januari lalu.
Ujarnya, pemeriksaan pada badan suspek menjumpai senjata besi berantai menyerupai nunchaku.

“Selepas disoal siasat, suspek mengaku telah menyerahkan pistol jenis Revolver .38 yang digunakan untuk membuat ugutan terbabit kepada rakannya. Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 36 tahun kira-kira sejam kemudian.

“Sewaktu ditahan, suspek ke­dua didapati membawa sebilah sabit dan kekunci L yang biasa digunakan untuk kegiatan curi kenderaan.

“Dia pula memberitahu, pistol itu telah diserahkan kepada individu ketiga yang juga rakan mereka,” katanya.

Rosli berkata, penahanan suspek ketiga berusia 47 tahun kira-kira setengah jam kemudian membawa kepada penemuan pistol terbabit yang disorok di dalam sebuah tayar lama di tepi sebuah pondok usang di Kampung Gong Penaga, Jertih, Besut.

“Berdasarkan penemuan pistol dan peralatan serta senjata lain tersebut, polis percaya mereka terlibat dalam banyak kes jenayah kekerasan dan samun di sekitar Terengganu dan Kelantan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan. Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga Ahad ini,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 serta Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

No comments:

Post a Comment