Translate

Sunday, January 15, 2017

Pengguna LPT2 gempar dengan kehadiran tapir

KUALA TERENGGANU - Tidak sampai seminggu selepas seekor harimau dewasa dilihat bersidai di tepi Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, Dungun, pengguna lebuh raya itu hari ini sekali lagi dikejutkan pula dengan kehadiran seekor tapir.
Tapir dewasa itu dijumpai berkeliaran di laluan LPT2 arah utara menghala Kuala Terengganu berhampiran susur keluar Kijal, Kemaman pada pukul 7.32 malam.
Kelibatnya yang tidak menghiraukan kenderaan yang lalu-lalang telah menarik perhatian beberapa pengguna lebuh raya terbabit yang terpaksa berhenti bagi memastikan keselamatan haiwan terancam terbabit.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Terenggganu, Mohd. Hasdi Husin berkata, beliau telah mengarahkan anggota agensi itu menyiasat insiden sebaik mengetahuinya pada pukul 9 malam hari ini.
"Berdasarkan maklumat awal daripada anggota Perhilitan negeri cawangan Kemaman, tapir terbabit didapati telah kembali memasuki kawasan hutan berhampiran lokasi terbabit tidak lama kemudian.
"Begitupun kita akan meningkatkan pemantauan bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa terdekat," katanya yang dihubungi Kosmo! di sini.
Hasdi berkata, kelibat tapir memasuki LPT2 dari hutan berhampiran memang kerap terjadi dan sejak tahun 2012, tujuh ekor haiwan terancam itu telah mati dilanggar sewaktu melintas di lebuh raya terbabit.
Kosmo! 7 Januari lalu melaporkan pengguna LPT2 gempar selepas seekor harimau dijumpai berehat di kawasan semak di KM354.3, LPT2 berhampiran Bukit Besi.
Haiwan terancam itu dipercayai keluar daripada habitatnya di Hutan Simpan Jerangau yang dilanda banjir. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment