Translate

Friday, January 13, 2017

Isu ‘banjir termenung’ bakal selesai

Oleh AZLI ADLAN, FIRDAUS HASSAN, AZRIN MUHAMMAD, TOREK SULONG dan KAMARUDIN HAMZAH
Jurufoto ROSNI MASRI dan DJOHAN SHAHRIN SHAH

TUMPAT – Kerajaan sedang meneliti cadangan membina sebuah jamba­tan di Jalan Kasban, Kampung Nibong di sini bagi menyelesaikan isu ‘banjir termenung’ yang membelenggu lebih 5,000 buah keluarga dari 13 kampung setiap kali musim banjir di kawasan berkenaan.

‘Banjir termenung’ merujuk kepada air yang terkepung dan tidak dapat mengalir keluar kerana tiada saluran untuk kembali ke sungai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembinaan jambatan berkenaan akan membolehkan sebuah saluran air dibina untuk mengalirkan air banjir dari kawasan Pengkalan Kubur di sini dengan lebih cepat ke Sungai Golok.

Berdasarkan anggaran awal, Najib memberitahu, pembinaan saluran air dan jambatan sepanjang 100 meter itu dijangka menelan belanja antara RM9 juta hingga RM10 juta.

“Saya akan arahkan Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Kerja Raya untuk mengkaji cadangan tersebut dan jika sesuai, ia akan dibina dengan kadar segera,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat serta memberi bantuan kepada seramai 646 mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan di sini semalam.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahd­zir Khalid.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan akan menjadikan beberapa buah sekolah yang sudah dikenal pasti sebagai pusat pemindahan banjir.

“Sekolah yang terlibat itu akan ditampung dengan kemudahan tambahan iaitu tandas tambahan serta bilik mandi untuk lelaki dan wanita. Kita akan perluaskan ke beberapa buah sekolah yang lain, jika tiada banjir murid-murid boleh menggunakan kemudahan itu,” ujar beliau.

Selepas di Kelantan, Najib kemudian meluangkan masa meluangkan masa lebih sejam meninjau dua pusat pemindahan banjir di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Terengganu semalam.

Beliau beramah mesra dengan hampir 900 mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan SK Banggol Peradong, Manir dan SK Bukit Guntong, Kuala Nerus.

No comments:

Post a Comment