Translate

Tuesday, January 17, 2017

Cacing gelang ‘diusir’ ke sungai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Sehari selepas sepasukan bomba melancarkan operasi pembersihan, koloni cacing gelang yang membanjiri kawasan padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Ping, Kampung Tok Lawit dekat sini didapati semakin berkurangan semalam.

Hanya terdapat sedikit cacing ge­lang itu di longkang bersebelahan padang sekolah tersebut berbanding sebelum ini yang menjadi lokasi pengumpulan spesies haiwan berkenaan hampir mencecah jutaan ekor.

Kerja pembersihan berjaya mengusir gumpalan cacing gelang ter­babit ke dalam Sungai Rapat yang dihubungkan dengan longkang SK Kuala Ping.
Sungai Rapat merupakan anak sungai yang bersambung dengan Sungai Telemong yang merupakan antara sungai utama di daerah ini.
Tukang kebun SK Kuala Ping, Shamsuddin Abas berkata, kerja-kerja pembersihan dijalankan selama tiga jam sehingga pukul 12.30 tengah hari kelmarin oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dengan kaedah penyemburan air ke dalam longkang tersebut.

“Sewaktu saya menyelenggara padang sekolah pada pagi tadi (semalam), masih ada sedikit cacing gelang merayap tetapi tidak sebanyak sebelum ini.

Meskipun begitu, saya difahamkan padang sekolah masih dikosongkan daripada sebarang aktiviti sukan dan kurikulum buat sementara waktu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Pengerusi Kelab Rukun Tetangga Kampung Tok Lawit, Suhaimi Ali, 56, memberitahu, beberapa ekor cacing gelang yang masih tinggal dilihat merayap ke jalan tar bersebelahan padang sekolah seolah-olah mencari habitat baharu.

Dia yang menetap bersebelahan SK Kuala Ping berkata, pemerhatiannya sejak pukul 8 pagi semalam mendapati, cacing gelang tersebut sudah tidak banyak dan tidak melebihi 100 ekor.

Bagaimanapun, dia percaya masih banyak lagi ca­cing gelang di dalam tanah di kawasan padang SK Kuala Ping yang dipercayai perumah bagi haiwan invertebrata tersebut.
“Apa pun saya lega kehadiran jutaan cacing gelang secara luar biasa di padang sekolah itu dilihat sudah semakin berkurangan. Saya percaya haiwan tersebut tidak akan naik dengan kuantiti banyak lagi pada masa terdekat berikutan cuaca panas dan terik di Kampung Tok Lawit sejak beberapa hari ini.

“Sebelum ini sejak pertengahan Disember lalu, hujan memang turun hampir setiap hari di kampung kami dan kemuncaknya, perkampungan kami termasuk padang SK Kuala Ping ditenggelami banjir setinggi kira-kira satu meter dari 31 Disember hingga 5 Januari lalu,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan SK Kuala Ping mencetuskan misteri apabila dibanjiri jutaan cacing ge­lang yang tidak putus-putus sejak sebulan lalu sebelum semakin banyak selepas banjir pada Januari lalu.

Kehadiran cacing gelang spesies haiwan yang menggelikan kebanyakan orang itu menjejaskan aktiviti harian murid SK Kuala Ping dan penduduk Kampung Tok Lawit.

No comments:

Post a Comment