Translate

Monday, January 2, 2017

48 buah sekolah ditutup akibat bah


Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan NOR AFIQAH MAT NOR

HULU TERENGGANU – Lebih 2,000 pelajar di Terengganu dan Kelantan terpaksa melupakan hasrat untuk memulakan sesi persekolahan pada tahun baru 2017 selepas 48 buah sekolah tidak dapat beroperasi ekoran banjir yang melanda kedua-dua negeri semalam.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, penutupan 37 buah sekolah di negeri ini melibatkan lima daerah iaitu Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Setiu, Marang dan Dungun.

“Daerah Hulu Terengganu paling teruk terjejas dengan 22 sekolah kebangsaan dan tiga sekolah menengah terlibat.

“Enam sekolah ditutup kerana dilanda banjir manakala selebihnya kerana dijadikan pusat pemindahan,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, sebanyak 33 pusat pemindahan telah dibuka di lima buah  daerah yang menempatkan 2,031 mangsa daripada 586 keluarga.

Di Kelantan, lebih 1,000 pelajar tidak dapat memulakan sesi persekolahan apabila 15 sekolah di daerah Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah ditutup berikutan banjir yang melanda negeri ini semalam.

Pengarah Pendidikan Kelantan Jaafar Ismail berkata, sehingga petang semalam sebanyak 15 buah sekolah tidak dapat beroperasi untuk hari pertama persekolahan kerana laluan ke sekolah dinaiki air ekoran hujan lebat sejak malam kelmarin.

Katanya, laluan ke sekolah ditenggelami air dan berbahaya kepada keselamatan guru dan pelajar.
Menurutnya, antara sekolah yang menjadi pusat pemindahan banjir setakat petang semalam ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keroh, SMK Kuala Krai, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bedal.

Dalam perkembangan yang sama, Pengarah APM Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,872 orang daripada 524 keluarga setakat 9 malam tadi berbanding 1,067 orang daripada 258 keluarga 6 petang.

Menurutnya, kesemua mangsa yang dipindahkan itu ditempatkan di 17 pusat pemindahan mangsa banjir di daerah Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli.

No comments:

Post a Comment