Translate

Wednesday, January 18, 2017

Dua remaja dikhuatiri lemas

BESUT – Keriangan enam rakan mandi-manda di Pantai Bukit Keluang, Kampung Raja dekat sini semalam berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka hilang dikhuatiri lemas.

Nik Mohd. Haikal Fitri Nik Samsuddin, 13, dan Mohammad Izzat Haikal Alias, 12, dari Kampung Raja dekat sini dikatakan ditarik ombak besar sebelum tenggelam ketika sedang berseronok mandi pada pukul 2.30 petang.

Salah seorang rakan mangsa, Ahmad Osama Hafiz Salleh, 15, berkata, kejadian berlaku sebaik kedua-dua mangsa pergi berenang lebih jauh dari pantai.

“Tidak lama kemudian, mereka tiba-tiba ditarik oleh ombak besar. Saya cuba membantu dengan berenang sepantas mungkin ke arah mereka namun hampir lemas sebelum diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

“Rakan-rakan lain yang terkejut dengan insiden itu telah bertindak berenang semula ke pantai sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di lokasi kejadian semalam.
Ahmad Osama berkata, sebelum itu, kesemua mereka yang tinggal di kampung berhampiran telah ke Pantai Bukit Kluang dengan menaiki basikal.

Difahamkan Nik Mohd. Haikal yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Raja merupakan anak bongsu daripada lapan beradik manakala Mohammad Izzat Haikal yang merupakan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kampung Raja juga anak bongsu daripada lima ber­adik.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hasan berkata, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dan setakat petang semalam kedua-dua mangsa masih belum ditemui.

No comments:

Post a Comment