Translate

Monday, January 9, 2017

Harimau berehat di LPT2 kembali ke habitat asal

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Harimau yang dijumpai berehat di kawasan semak di Kilo­meter 354.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, Dungun sehingga menimbulkan kegemparan kepada pengguna lebuh raya itu pada Khamis lalu dipercayai telah memasuki se­mula habitatnya di Hutan Simpan Jerangau.
Pengarah Jabatan Perlin­dungan Haiwan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Terengganu, Mohd. Hasdi Husin berkata, pemerhatian anggota agensinya sejak tiga hari lalu mempercayai haiwan terancam tersebut sudah berada jauh di dalam hutan simpan terbabit.

“Berdasarkan beberapa kesan tapak kaki harimau terbabit yang dijumpai di sekitar kawasan hutan simpan berkenaan, kita percaya haiwan liar itu sudah semakin jauh ke dalam habitatnya.

“Begitupun, pemantauan akan tetap dilakukan selama 24 jam dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi bagi menjejaki harimau berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Mohd. Hasdi berkata, selain rondaan secara berkala, anggota Perhilitan negeri juga akan me­ninjau beberapa perangkap yang telah dipasang di sekitar Hutan Simpan Jerangau dalam usaha untuk mengesan haiwan itu.

Menurut beliau, pihaknya bimbang kemunculan harimau ter­babit di kawasan semak di tepi LPT2 beberapa hari lalu te­lah menarik minat pemburu ha­ram sekali gus menggugat nyawa haiwan terancam berkenaan.

“Pada masa sama, kita juga mahu memastikan haiwan ter­babit tidak melintasi LPT2 yang bukan sahaja mungkin mengancam nyawanya malah pengguna lebuh raya terbabit,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan pengguna LPT2 gempar selepas seekor harimau dijumpai berehat di kawasan semak di KM354.3 berhampiran Bukit Besi.

Haiwan terancam itu dipercayai keluar daripada habitatnya di Hutan Simpan Jerangau yang dilanda banjir.

No comments:

Post a Comment