Translate

Thursday, January 26, 2017

9 negeri terjejas banjir

KUALA LUMPUR – Gelombang kedua banjir yang memasuki hari kelima semalam menyaksikan lapan buah negeri masih terjejas termasuk Terengganu yang dilanda bah sekali lagi selepas air surut Ahad lalu.

Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat sementara penduduk yang dipindahkan berkurangan di Johor, Perak, Sabah, Kelantan, Selangor dan Sarawak.

Bagaimanapun di Negeri Sembilan hanya daerah Gemas yang terjejas tetapi jumlah mangsa yang dipindahkan kecil.

Di Johor, seramai 8,009 orang di lapan daerah di negeri ini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan setelah rumah mereka dinaiki air.
Daerah Segamat mencatatkan mangsa paling tinggi iaitu 7,113 orang membabitkan 2,129 keluarga.

Tujuh daerah lain yang terjejas banjir ialah Tangkak, Kota Tinggi, Kluang, Mersing, Muar, Johor Bahru dan Batu Pahat.

Di Pahang, seramai 5,207 mangsa banjir dipindahkan di tujuh daerah melibatkan 1,353 keluarga dengan jumlah pusat pemindahan bertambah kepada 71 buah.

Maran mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi dengan 1,156 orang diikuti Kuantan (909) dan Lipis (658).

Daerah lain terjejas ialah Jerantut, Raub, Pekan dan Rompin.
Sebanyak 23 jalan ditutup kepada semua kenderaan manakala tujuh jalan lagi ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air.

Antaranya ialah Jalan Kerambit-Limau Purut-Mela, Jalan Bukit Kota-Aur Gading, Jalan Bukit Betong-Kg Kepong dan Jalan Lipis-Jerantut.

Di Perak, daerah yang dilanda banjir ialah Manjung, Larut Matang dan Selama, Hilir Perak, Perak Tengah dan Kinta melibatkan seramai 525 mangsa dipindahkan.

Di Kelantan, bencana banjir yang beransur pulih kelmarin bertukar sebaliknya apabila jumlah mangsa dipindahkan di negeri ini meningkat seramai 584 orang semalam.

Hujan lebat sejak tiga hari lalu menyebabkan Gua Musang menjadi daerah baharu dilanda banjir apabila lebih 20 keluarga dari Kampung Limau Kasturi terpaksa dipindahkan berikutan kawasan tersebut mula dinaiki air.

Seramai 12 murid Orang Asli, 10 guru serta kakitangan Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi di Pos Lebir, Gua Musang yang terkandas akibat banjir pula terpaksa diselamatkan dan dibawa ke Kampung Aring 5 dan Kuala Koh
Daerah lain yang masih dilanda banjir ialah Kuala Krai, Kota Bharu, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Di Terengganu, tiga kawasan di daerah Dungun kembali dilanda banjir kilat semalam melibatkan 106 penduduk dipindahkan iaitu kira-kira 24 jam selepas negeri ini diisytiharkan pulih banjir kelmarin.

Tiga kawasan terjejas ialah Kampung Pasir Raja, Kampung Syukor dan Kampung Durian Mentagau akibat limpahan Sungai Paka.

Di Selangor, sebanyak 320 mangsa banjir ditempatkan di dua pusat pemindahan di Dewan Sri Bernam dan Dewan Parit Baru di Sabak Bernam semalam.

Di Negeri Sembilan, seramai 127 mangsa banjir di Taman Sungai Gemas ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Besar Gemas.

Di Sabah, mangsa banjir di Pitas dan Beluran menurun kepada 624 orang.
Semalam, sebuah helikopter milik polis terpaksa digunakan bagi menghantar 400 bungkus bekalan makanan kepada mangsa yang terputus hubungan di Pitas akibat banjir.

Di Sarawak, seramai 48 penduduk dipindahkan berikutan banjir yang melanda beberapa kawasan di Sibu, Miri, Bintulu dan Serian.

No comments:

Post a Comment