Translate

Monday, January 16, 2017

Hoki: Piala Sumbangsih 2017 kekal milik KLHC

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KELAB Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mempertahankan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 6-5 menerusi penentuan penalti shoot out di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Lebih manis, kejayaan menjulang piala tersebut diperoleh dengan menewaskan musuh tradisi, THT yang juga juara keseluruhan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2016 buat tiga tahun berturut-turut sejak edisi 2015.

Terdahulu, kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 2-2 pada masa sebenar perlawanan dengan KLHC mendahului hasil jaringan Muhammad Noor Faeez Ibrahim menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31.

Namun THT tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan padang penyerang kebangsaan, Faizal Shaari dua minit kemudian.

KLHC kembali garang mendahului menerusi gol padang oleh Muhammad Umar Butta pada minit ke-51 sebelum THT, sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 hasil pukulan sudut penalti, Jang Jobghyun pada minit ke-56.

Keputusan seri berkenaan menyebabkan ke­dua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata pada perlawanan pertama saingan Divisyen Premier MHL 2017 itu.

Sementara itu, jurulatih KLHC, Muhammad Harun Alrashid Jamaluddin berkata, beliau puas hati kerana anak-anak buahnya berjaya menewaskan THT yang merupakan sebuah pasukan mantap, selain masih segar dengan kejayaan merangkul Piala Tan Sri P. Alagendra awal minggu ini.

“THT adalah pasukan yang sukar namun kita berjaya mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot out dan memenanginya,” kata Muhammad Harun ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tersebut.

Jurulatih THT, Sarjit Singh pula berkata, KLHC sememangnya berhak merangkul kejuaraan kerana telah bermain dengan lebih baik pada perlawanan tersebut.

“Sepanjang perlawanan, kita memperoleh sembilan pukulan sudut penalti tapi sayangnya, cuma satu sahaja menepati sasaran.

“Apa pun, kita bernasib baik kerana masih memperoleh satu mata dan perjalanan liga (MHL) pada tahun ini baharu bermula serta masih panjang,” katanya.

Saingan merebut Piala Sumbangsih itu merupakan perlawanan pembuka tirai MHL 2017.

No comments:

Post a Comment