Translate

Friday, January 27, 2017

Angkasa ceburi industri tenaga solar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Angkatan Koperasi Kebangsaan Bhd. (Angkasa) akan menerokai bidang tenaga boleh diperbaharui menerusi projek pembekalan tenaga solar di Sungai Tiang, Pendang, Kedah yang bakal beroperasi pada April depan.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah (gambar) berkata, projek tersebut yang dilaksanakan di tanah milik seorang ahli koperasi yang seluas 1.62 hektar,  menelan belanja kira-kira RM10 juta.

“Stesen tenaga solar terbabit dapat menjana tenaga elektrik sebanyak satu megawatt pada satu-satu masa dan ia akan dibekalkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai sebahagian daripada sistem Rangkaian Grid Nasional (RGN).

“Sebelum ini, Angkasa telah menandatangani perjanjian dengan TNB untuk membekalkan tenaga elektrik menerusi sumber solar itu untuk tempoh 21 tahun,” katanya selepas merasmikan Diskusi Hala Tuju Koperasi Dalam Sektor Pertanian di sini semalam.

Abdul Fattah berkata, projek pembekalan tenaga solar tersebut diunjur dapat menjana perolehan sebanyak RM200,000 sebulan atau RM50.4 juta sepanjang tempoh perjanjian kepada Angkasa.

Menurut beliau, proses meratakan tanah di tapak projek terbabit telah dilakukan sejak bulan lalu dan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.

“Bagi mengoptimumkan projek itu, tanah di bawah panel tenaga solar terbabit akan dimanfaatkan dengan aktiviti pertanian iaitu penanaman sayur-sayuran.

“Sekiranya menerima tambahan kuota RGN daripada TNB, Angkasa tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan lagi projek tenaga diperbaharui ini ke kawasan lain pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Fattah memaklumkan, Angkasa juga bercadang untuk menawarkan ekuiti dalam projek berkenaan yang dimiliki anak syarikat Angkasa, MyAngkasa Services Sdn. Bhd., kepada koperasi-koperasi lain agar keuntungannya dapat dikongsi bersama.

No comments:

Post a Comment