Translate

Sunday, January 1, 2017

Produk alternatif ganti gula

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Pusat Tunas Stevia baru-baru ini berjaya menghasilkan produk madu kelulut yang dihasilkan daripada stevioside iaitu debunga pokok stevia.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, produk yang dinamakan sebagai Madu Jabee itu diklasifikasikan sebagai Premium Honey yang berkualiti tinggi.

“Madu Jabee mengandungi kandungan stevioside yang terbukti berupaya mengurangkan rasa masam madu kelulut.

“Ia berbeza daripada produk madu kelulut lain di pasaran sekali gus memberi nilai tambah kepada produk ini (Madu Jabee). Daun stevia sebelum ini juga memang dikenali sebagai bahan pemanis semula jadi yang menyihatkan dan telah dikomersialkan sebagai alternatif kepada gula,” katanya kepada Kosmo! selepas melawat Pusat Tunas Stevia di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut UMT, Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Abd Razak.

Nor Aieni menambah, Madu Jabee merupakan produk pe­rintis hasil penyelidikan antara UMT dan Pusat Tunas Stevia berikutan kerjasama strategik yang dimeterai pada tahun 2014.
Beliau berkata, penyelidikan yang diketuai oleh Shamsul Bahri yang membawa kepada penghasilan kepada produk Madu Jabee itu telah memenangi Anugerah Emas dalam Inovasi UMT pada tahun 2015.

“Pengusaha Madu Jabee pula terdiri daripada golongan ibu tunggal sekitar daerah Besut yang bernaung di bawah Koperasi Ummu Wahidah.

“Pengeluarannya secara tidak langsung menyokong kempen Mulakan Hari Anda dengan Madu yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada September lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment