Translate

Friday, January 6, 2017

D’Rimba Bistro tawar kuih-muih tradisional Terengganu


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Hotel Rimba menerusi kafenya, D'Rimba Bistro, menampilkan menu kuih-muih tradisional Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2017.

Chef Mohd. Ariffin Mingu berkata, kuih-muih tradisional yang semakin sukar didapati itu ditawarkan kepada pengunjung sejak 1 Januari lalu.
“Antara yang disediakan kepada pelanggan adalah perut ayam, apam berkuah, beka ubi kayu, tumis laksa lidi, pulut berinti dan kacang soya gaul nyiur (kelapa).

“Selain itu kole kacang, jagung gaul nyiur, nasi lemak samor dan belebat ubi stelo (keledek) turut disajikan di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! pada sesi memper­kenalkan set kuih-muih tersebut di kafe yang terletak di Jalan Tengku Mohamad dekat sini baru-baru ini.

Mohd. Ariffin yang mempunyai pengalaman sebagai tukang masak profesional selama lebih 20 tahun berkata, kebanyakan hidangan itu merupakan resepi warisan yang dipelajari daripada ibu, nenek dan jiranya sejak kecil lagi.

Menurut beliau, penawaran kuih-muih berkenaan bukan sahaja demi memenuhi selera pengunjung tetapi sebagai daya tarikan kepelbagaian hidangan tradisi enak negeri ini khusus­nya bersempena Tahun Melawat Terengganu 2017.

“Pilihan kuih yang ditawarkan mungkin akan bertukar pada setiap bulan berdasarkan permintaan,” katanya.

Set kuih-muih tradisional Terengganu D’Rimba Bistro ditawarkan pada harga RM3 hingga RM8 setiap satu.

No comments:

Post a Comment