Translate

Monday, January 16, 2017

Selepas harimau, tapir pula bikin pengguna LPT2 gempar

KUALA TERENGGANU – Tidak sampai seminggu selepas seekor harimau dewasa dilihat bersidai di tepi Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, Dungun, pengguna lebuh raya itu kelmarin sekali lagi dikejutkan dengan kehadiran seekor tapir pula.

Tapir dewasa itu dijumpai berkeliaran di Kilometer 386, LPT2 menghala Kuala Terengganu berhampiran susur keluar Kijal, Kemaman kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin.

Kelibatnya yang tidak menghiraukan kenderaan yang lalu-lalang menarik perhatian beberapa pengguna lebuh raya terbabit yang berhenti untuk memastikan keselamatan haiwan terancam terbabit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Terengganu, Mohd. Hasdi Husin berkata, beliau telah mengarahkan anggota agensi itu menyiasat insiden sebaik me­ngetahuinya pada pukul 9 malam kelmarin.

“Berdasarkan maklumat awal daripada anggota Perhilitan negeri cawangan Kemaman, tapir terbabit didapati telah kembali memasuki kawasan hutan berhampiran lokasi terbabit tidak lama kemudian.

“Begitupun kita akan meningkatkan pemantauan bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa terdekat,” katanya.

Hasdi berkata, kelibat tapir keluar dari hutan memasuki LPT2 memang kerap terjadi dan tujuh ekor haiwan terancam itu telah mati dilanggar sewaktu melintas di lebuh raya terbabit sejak tahun 2012.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Terengganu, Rosli Othman berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan pe­ngendali konsensi LPT2 agar menggali parit di tepi pagar di sepanjang lebuh raya terbabit bagi mengurangkan risiko diceroboh haiwan liar dan binatang ternakan pada masa hadapan.

Beliau berkata, lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai kerap dicerobohi haiwan liar dan binatang ternakan terbabit akan diberi keutamaan untuk pembinaan parit berkenaan.

Kosmo! 7 pada Januari lalu melaporkan pengguna LPT2 gempar selepas seekor harimau dijumpai berehat di kawasan semak di Kilometer 354.3, LPT2 berhampiran Bukit Besi.

Haiwan terancam itu dipercayai keluar daripada habitatnya di Hutan Simpan Jerangau yang dilanda banjir.

No comments:

Post a Comment