KUALA TERENGGANU – Tidak sampai seminggu aksi lapan remaja memanjat mercu tanda ‘IPOH’ di Perak, tersebar pula video dua remaja lelaki yang melakukan aksi berbahaya bergayut pada menara komunikasi dipercayai di Bukit Chendering di sini.
Berdasarkan video yang telah menjadi viral di laman sosial termasuk YouTube sejak pukul 10 pagi semalam, dua remaja lelaki dipercayai berusia 20-an itu didapati telah menceroboh kawasan menara komunikasi tersebut.
Tanpa memikirkan keselamatan dengan memakai peralatan abah-abah, mereka memasuki menara komunikasi setinggi 500 meter dari aras laut itu yang terletak di puncak Bukit Chendering.
Kedua-dua remaja lelaki berkenaan kemudiannya memberanikan diri bergayut pada salah satu palang menara komunikasi tersebut dalam keadaan angin kencang.
Video berdurasi 2 minit 32 saat itu berakhir dengan mereka meniti menara komunikasi terbabit.
Pada penghujung video berkenaan kedengaran siren kereta polis, sambil salah seorang remaja berkenaan mengajak rakannya turun dalam loghat Terengganu kerana bimbang ditangkap pihak berkuasa.
Sementara itu, setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung perlakuan dua remaja lelaki berkenaan.
No comments:
Post a Comment