Translate

Saturday, January 14, 2017

Harga getah dijangka kekal tinggi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Harga getah di pasaran semasa yang naik mendadak sejak November tahun lalu dijangka kekal tinggi sehingga sekurang-kurang­nya pertengahan tahun ini sekali gus memberi manfaat kepada 388,111 pekebun kecil getah di seluruh negara.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dr. Mohd. Akbar Md. Said berkata, pada masa ini, harga Getah Standard Malaysia 20 (SMR20) dan getah beku masing-masing mencecah RM9.40 dan RM4.40 sekilogram.

“Harga getah meningkat selepas Shanghai Stock Exchange, China mengumumkan kekurangan bekalan komoditi itu pada penghujung tahun lalu dan trend kenaikan itu diunjur bakal berterusan sehingga Jun ini.

“Tiga elemen iaitu permintaan tinggi oleh pihak industri di China, kenaikan harga minyak global dan kejatuhan mata wang Ringgit menjadi punca kenaikan harga getah tempatan,” katanya kepada pembe­rita di Kampung Tok Lawit, Hulu Telemong dekat sini semalam.

Terdahulu, Mohd. Akhbar menghadiri majlis pe­nyampaian bantuan kepada 50 penoreh getah terjejas banjir yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan Komoditi, Datuk Datu Basrun Datu Mansur.
Mohd. Akbar membe­ritahu, senario itu dijangka bakal merancakkan semula industri komoditi tersebut yang sebelum ini agak suram berikutan kejatuhan harga komoditi berkenaan sejak 2014.

Pada 2014, harga getah SMR20 ialah RM5.53 sekilogram manakala getah beku antara RM2.65 hingga RM2.80 sekilogram.

Menurutnya, LGM juga menjangkakan pengelua­ran getah tempatan bakal meningkat kepada 720,000 tan metrik tahun ini berbanding 600,000 tan me­trik pada 2016.

No comments:

Post a Comment