Translate

Thursday, January 26, 2017

EPIC, CMC Engineering jalin kerjasama teroka peluang ECRL

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) menjalin kerjasama strategik dengan CMC Engineering Sdn. Bhd. (CMC Engineering) bagi meneroka peluang perniagaan dalam projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi EPIC, Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut berkata, kerjasama tersebut membabitkan perkongsian teknologi dan kepakaran dengan memanfaatkan limpahan projek pembangunan pengangkutan berimpak tinggi itu demi pembangunan Terengganu.

“Projek ECRL bakal menjadi pemangkin kepada kemakmuran ekonomi Pantai Timur, termasuk Terengganu, dengan unjuran mampu meningkatkan kadar pertumbuhan negeri terlibat sebanyak sekurang-kurangnya 1.5 peratus.

“Sehubungan itu, EPIC melihat potensi dan peluang bagi memberi perkhidmatan berkaitan pembinaan dan pengoperasian sistem keretapi khas di dalam negeri ini,” kata­nya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara EPIC dan CMC Engineering di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif CMC Engineering, Hazwan Alif Adul Rahman mewakili syarikat masing-masing dalam memeterai perjanjian terbabit.

Tengku Mahamad berkata, EPIC melihat projek pembangunan ECRL mampu memberi manfaat besar kepada perkembangan Pelabuhan Kemaman.

Menurut beliau, projek itu juga akan memberi impak positif kepada industri pelancongan, me­rancakkan pertumbuhan bandar-bandar kecil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan harga barangan di Pantai Timur.

Projek ECRL sejauh 688 kilometer yang bermula dari Pelabuhan Klang, Selangor hingga Tumpat, Kelantan itu melibatkan kos RM55 bilion.

Dijangka bermula tidak lama lagi, projek berimpak tinggi berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022.

No comments:

Post a Comment