Translate

Tuesday, January 17, 2017

Bencana banjir di Terengganu jadi iktibar

PANTAI Timur termasuk Terengganu kini memasuki fasa pascabanjir setelah bah yang menenggelami negeri terbabit selama 10 hari telah surut sepenuhnya pada Isnin lalu.

Episod banjir pada musim tengkujuh kali ini membabitkan ke­semua lapan daerah di Terengganu berikutan hujan lebat selama empat hari bermula dinihari 31 Disember tahun lalu.

Sebelum itu, bumi Terengganu diberi peringatan awal menerusi gelombang pertama dan kedua yang menyebabkan kejadian banjir berskala kecil di daerah Kuala Terengganu dan Kemaman, masing-masing pada 29 November dan 26 Disember 2016.

Walaupun tidak seburuk pada tahun 2013 dan 2014, bencana banjir kali ini melibatkan 21,218 mangsa daripada 6,055 keluarga di seluruh negeri ini dan kemusnahan jutaan ringgit.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman memberitahu, gelombang ketiga banjir besar yang berlaku di ne­geri ini bermula pada hari terakhir tahun 2016 itu berpunca daripada taburan hujan yang tinggi.

Beliau yang juga Urusetia Sekteriat Pengurusan Bencana Banjir Terengganu berkata, sepanjang tempoh empat hari sehingga 3 Januari lalu, taburan hujan yang dicatatkan kira-kira 800 mili­meter (mm).

“Ia boleh dianggap luar biasa ke­rana kebiasaannya taburan hujan 100mm dalam tempoh 48 jam pun sudah boleh menyebabkan banjir. Banyak kawasan yang diramal sebagai selamat turut ditenggelami banjir termasuk Pulau Perhentian yang tidak pernah dilanda bah sejak 50 tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Che Adam, beberapa kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang dikategorikan selamat juga ditenggelami air banjir mulai 4 Januari lalu sewaktu kawasan-kawasan lain mula pulih dan cuaca kembali cerah.

Katanya, kejadian itu disebabkan limpahan air banjir yang dibawa arus sungai-sungai utama terutama Sungai Terengganu ketika mengalir ke laut.
“Taburan hujan yang tinggi menyebabkan sungai-sungai utama di negeri ini tidak mampu menampung kuantiti air banyak sekali gus melimpahi di sepanjang lembangan sungai berhampiran.

“Pada masa sama, paras air pasang tinggi iaitu melebihi dua meter turut menjadi faktor menghalang air bah mengalir de­ngan cepat ke dalam laut seperti kelaziman,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, bencana yang berlaku memberi pengajaran sangat berguna kepada kerajaan negeri untuk mempertingkatkan pengurusan bencana banjir pada masa akan datang.

Menurutnya, perlu diakui, sekiranya hendak memastikan bah di negeri ini cepat surut, mekanisme lain perlu dicari selain sekadar mengharapkan sungai sebagai ejen mengalirkan air banjir ke laut.

“Kita perlu berfikir di luar kotak. Antara cadangan yang sedang difikirkan ialah pembinaan lebih banyak taman rekreasi yang mempunyai tasik di setiap daerah di negeri ini.

“Tasik itu boleh berfungsi sebagai kolam tadahan untuk menampung air banjir pada setiap musim tengkujuh,” katanya.

Ahmad Razif berkata, meka­nisme baharu terbabit perlu dilakukan bagi mengurangkan feno­mena ‘banjir termenung’ atau air banjir bertakung yang memberi kesan emosi kepada mangsa banjir, kemusnahan infrastruktur dan risiko penyakit berjangkit.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail pula memberitahu, banjir kali ini menyebabkan kerosakan infrastruktur seperti jalan raya, sekolah dan balai raya serta kemusnahan tanaman dan haiwan ternakan yang dianggarkan kerugian sebanyak RM354.55 juta.

Itu tidak termasuk kerosakan rumah penduduk yang perlu dibaiki dan ada perlu dibina semula.

“Kerajaan  negeri juga telah meluluskan peruntukan segera untuk membaiki dan membina rumah rakyat. Peruntukan sehingga RM11,000 untuk membaiki kerosakan rumah manakala maksimum RM40,000 bagi membina semula rumah pula.
“Mangsa banjir di negeri ini juga menerima bantuan RM1,000 bagi setiap isi rumah,” ujarnya.

Mengambil semangat Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pendekatan Parlimen Kemaman memperkenalkan skim insurans bencana kepada penduduk de­ngan penglibatan pihak swasta boleh diikuti.

Skim insurans itu bukan sahaja mempercepatkan sistem penyam­paian kepada golongan sasar malah menjadikan perbelanjaan kerajaan lebih berhemah.

Pujian juga harus diberikan kepada kerajaan negeri melakukan persiapan rapi dalam menghadapi banjir tahun ini sehingga hampir tiada isu berbangkit biar pun 209 pusat pemindahan telah di buka di seluruh negeri.

Koordinasi jitu antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang terlibat dengan Sekretariat Pengurusan Bencana Banjir Terengganu turut mendapat pujian setiap pe­mimpin Pusat yang turun padang termasuk Perdana Menteri sendiri.

No comments:

Post a Comment