KUALA TERENGGANU – Identiti dua remaja lelaki yang melakukan aksi berbahaya dengan bergayut di sebuah menara komunikasi di sini kekal misteri selepas tiada aduan berhubung insiden itu diterima oleh pihak polis sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pengendali menara komunikasi berhubung insiden pencerobohan tersebut.
“Kita tidak dapat mengesahkan sama ada kejadian dua remaja lelaki tersebut bergayut di menara komunikasi benar-benar berlaku di bandar raya ini.
“Begitupun, kertas siasatan akan dibuka secara serta-merta sekiranya terbukti benar perbuatan berbahaya itu dilakukan di bandar raya ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan video dua remaja lelaki berusia dalam lingkungan 20-an melakukan aksi berbahaya bergayut pada palang menara komunikasi dipercayai di Bukit Chendering, Kuala Terengganu tersebar di laman sosial termasuk YouTube kelmarin.
Perbuatan mereka yang tersiar menerusi klip video berdurasi 2 minit 32 saat itu mendapat kecaman masyarakat kerana ia berlaku tidak sampai seminggu selepas aksi lapan remaja memanjat mercu tanda ‘IPOH’ di Perak tersebar di laman sosial.
No comments:
Post a Comment