PASUKAN Hoki Terengganu (THT) melepaskan geram terhadap kegagalan merangkul Piala Sumbangsih, Jumaat lalu dengan membelasah skuad Universiti Teknologi Mara (UiTM) 9-0 pada aksi kedua Divisyen Primier Liga Hoki Malaysia 2017 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.
Penyerang sensasi kebangsaan, Faizal Saari mencipta hatrik, kesemuanya menerusi jaringan padang pada minit ke-26 dan ke-34 dan ke-43.
Terdahulu, pesta gol THT yang juga juara bertahan bermula dengan jaringan padang Muhamad Firhan Ashaari (m-5) sebelum menghasilkan gol kedua pada minit ke-59.
THT terus garang dengan dua jaringan padang pemain import dari Argentina, Nicholas Enrique Della Torre pada minit ke-12 dan ke-23.
Ismail Abu menambah luka UiTM yang masih hijau dalam kancah MHL dengan menjaringkan dua gol menerusi gerakan padang pada minit ke-37 dan ke- 54.
No comments:
Post a Comment