Translate

Wednesday, August 1, 2018

UMT wakili Malaysia ke pertandingan Enactus di AS

CEMERLANG. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjuarai Piala Enactus peringkat kebangsaan anjuran Yayasan Enactus Malaysia bagi menggalakkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengarah Pusat Keusahawanan dan Kerjaya UMT, Dr. Mohd. Shaari Abd. Rahman berkata, UMT yang diwakili 25 pelajar membentangkan tiga projek komuniti iaitu pendebungaan menggunakan kelulut, penanaman timun bagi membantu menjana pendapatan bekas penagih dadah dan penapisan air bersih bagi keperluan asas komuniti.

Pada pertandingan itu, UMT mengatasi empat institusi pendidikan tinggi iaitu Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Tenaga Nasional.

“Kemenangan itu membolehkan UMT mewakili negara pada pertandingan Enactus peringkat dunia di California, Amerika Syarikat (AS) pada Oktober depan,” kata Mohd. Shaari.

Yayasan Enactus Malaysia yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor merupakan organisasi tidak berasaskan keuntungan yang berperanan melatih golongan mahasiswa agar mempunyai kesedaran sosial dan moral.

No comments:

Post a Comment