Translate

Wednesday, August 29, 2018

3 remaja dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Kalong

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Keriangan tujuh remaja menghabiskan cuti Hari Raya Aidiladha dengan mandi-manda di Pantai Teluk Kalong di sini semalam bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka hilang selepas dikhuatiri lemas.
Dalam kejadian pukul 6.23 petang itu, tiga remaja lelaki yang dilaporkan lemas ialah Shahir Aqil Shahrun, Khairil Ikmal Danial Zamzuradi dan Ahmad Daniel Firdaus Zubir.

Kesemua mangsa berusia 19 tahun.

Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, sewaktu kejadian, ketiga-tiga mangsa sedang mandi bersama empat rakan lain pada kedudukan 15 hingga 30 meter dari pesisir Pantai Teluk Kalong dekat sini.

“Kejadian berlaku apabila kesemua mangsa sedang mandi di pantai berkenaan sebelum kawasan tersebut dilanda ombak besar.
“Bagaimanapun, empat daripada mereka sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.

“Tiga mangsa pula dipercayai gagal menyelamatkan diri sebelum mereka hilang dibawa arus deras,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kasyfi Syahmi berkata, pa­sukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada 34 pegawai dan anggota JBPM Terengganu, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Maritim Malaysia telah dilancarkan sejurus menerima maklumat tentang kejadian tersebut.
Menurut beliau, setakat malam ini, usaha pencarian di kawasan sekitar masih gagal menemui ketiga-tiga mangsa.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat dihentikan sementara pada pukul 7.20 malam tadi (semalam) dan bakal disambung awal pagi esok (hari ini),” katanya.

No comments:

Post a Comment