Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KEMAMAN - Hasrat seorang atlet silat untuk mewakili negeri untuk Sukan Malaysia (Sukma) buat pertama kali tidak kesampaian apabila dia mati lemas di Pantai Teluk Kalong di sini kelmarin.
Mayat Shahir Aqil Shahrun, 19, ditemui terdampar di tepi pantai kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 4.30 pagi semalam.
Turut hilang dalam kejadian pada pukul 6.23 petang kelmarin ialah dua rakannya, Khairil Ikmal Danial Zamzuradi dan Ahmad Daniel Firdaus Zubir yang juga berusia 19 tahun.
Bapa Shahir Aqil, Shahrun Ramli, 56, berkata anak keempatnya dari lima beradik itu aktif dalam sukan pencak silat sejak berusia 14 tahun dan telah terpilih untuk mengalas cabaran kontijen Terengganu pada Sukma 2018 yang bakal berlangsung di Perak pada bulan depan.
"Shahir Aqil telah terpilih untuk mewakili negeri pada Sukma 2016 di Sarawak lagi tetapi saya tidak memberi izin kerana mahu dia fokus pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Anak saya telah terpilih lagi ke Sukma Perak yang bakal berlangsung bulan depan," katanya ketika ditemui Kosmo! di perkarangan Unit Forensik Hospital Kemaman di sini semalam.
Shahrun berkata, Shahir Aqil sepatutnya mendaftar ke kem latihan akhir atlet silat Sukma Terengganu di Kuala Terengganu selepas menghadiri perjumpaan dengan bekas rakan sekolah di Pantai Teluk Kalong di sini kelmarin.
Menurut beliau, jenazah anak lelaki yang juga pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jabor Kubor, Gong Limau di sini selepas solat Asar semalam.
Sementara itu, rakan Shahir Aqil, Ahmad Haikal Zaaba, 19, berkata, mereka dan lima rakan sekolah lain termasuk Khairil Ikmal Danial dan Ahmad Daniel Firdaus pada mulanya sekadar berkelah di Pantai Teluk Kelong terbabit.
"Khairil Ikmal Danial mengajak kami mandi-manda di pantai tersebut. Sewaktu kami sedang mandi tiba-tiba datang ombak besar yang menyebabkan Ahmad Daniel Firdaus ditarik arus deras.
"Shahir Aqil cuma membantu namun dia juga ditarik arus deras itu. Khairil Ikmal Danial yang kemudiannya mahu menyelamatkan kedua-dua rakan itu turut hanyut," katanya.
Ahmad Haikal berkata, dia dan tiga rakannya yang tidak dapat berbuat apa-apa selain berenang ke pantai dan meminta bantuan orang ramai.
Dalam pada itu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah, usaha untuk mencari dua lagi mangsa yang masih hilang diteruskan pada keluasan dua radius dari lokasi mereka dilaporkan hilang.
Kosmo! semalam melaporkan keriangan tujuh remaja menghabiskan cuti Hari Raya Aidiladha dengan mandi-manda di Pantai Teluk Kalong di sini berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka hilang dikhuatiri lemas.
No comments:
Post a Comment