MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha di penjara setelah dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan memiliki 96.88 gram dadah jenis methamphetamine dua tahun lalu.
Hakim Datuk Zainal Azam Ab. Aziz memerintahkan demikian selepas Mohd. Hakimin Kamarudin, 28, yang bekerja sendiri membuat pengakuan bersalah apabila pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 39(A) 2 Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Hakimin didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 96.88 gram di Plaza Tol Chukai, Kemaman pada pukul 6.30 petang, 28 Julai 2016.
Dadah tersebut ditemui di dalam kereta Perodua Alza sewaktu pemeriksaan polis di lokasi kejadian.
Mohd. Hakimin didakwa mengikut Seksyen 39(A) 2 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun dan seumur hidup dan sekurang-kurangnya 10 sebatan jika sabit kesalahan. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment