Translate

Tuesday, August 28, 2018

Lembu baka Charolais dikorbankan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jika kelmarin penduduk di Masjid Jamek Shaik Eusof, Jalan Datuk Keramat, George Town, Pulau Pinang teruja menyaksikan seekor lembu jenis Brahman seberat satu tan dikorbankan, semalam keterujaan sama turut dirasai orang ramai yang hadir di Masjid Makmur, Kampung Losong Dato’ Amar di sini semalam.

Sejak awal pukul 8 pagi, lebih 1,000 penduduk berkumpul beramai-ramai semata-mata mahu melihat sendiri proses penyembelihan seekor lembu sado sebe­rat 1.2 tan untuk ibadah korban.

Lembu baka Charolais yang berumur tiga tahun itu dipercayai haiwan yang dijadikan ibadah korban yang paling besar di negara ini.

Pengerusi Badan Ukhuwah Darul Iman (Budi), Zul Fadzli Hassan berkata, ini kali kedua badan bukan kerajaan tersebut menganjurkan ibadah korban melibatkan lembu bersaiz besar yang pertama kali diadakan pada tahun 2016.

“Pada waktu itu, seekor lembu baka Charolais seberat hampir setan telah disembelih dan kami mendapat sekali lagi permintaan untuk melakukan ibadah korban dengan lembu jenis sama lagi oleh penduduk kampung.

“Lembu sado seberat 1.2 tan ini dibeli daripada penternak di Binjai Rendah, Marang dengan harga RM14,000. Haiwan ini jinak dan tidak pernah keluar dari kandang sejak lahir dan hanya diberi makan dedak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Masjid Makmur, Kampung Losong Dato’ Makmur di sini semalam.

Zul Fadzli berkata, Budi me­netapkan setiap peserta yang me­nyertai ibadah korban lembu sado terbabit dikenakan RM2,200 bagi setiap bahagian.

Menurut beliau, walaupun lebih mahal daripada kebiasaan, ketujuh-tujuh peserta masing-masing mendapat 50 kilogram (kg) berbanding enam hingga lapan kg bagi lembu bersaiz biasa.

“Daging-daging lembu sado itu juga diagih-agihkan kepada hampir 2,000 penduduk kampung sekitar,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Firdaus Hamid, 33, berkata, beliau sekeluarga sanggup datang dari Rawang, Sela­ngor untuk melihat sendiri upa­cara penyembelihan lembu baka Charolais berkenaan.

“Kebetulan kami dalam perjalanan untuk menziarahi saudara di kampung bersebelahan dan teruja menyaksikan sendiri upacara korban lembu yang ­sangat besar seakan-akan seladang,” katanya.

No comments:

Post a Comment