Translate

Wednesday, August 22, 2018

Muhammad Azlan Gan mualaf contoh

ISLAM mengambil berat dan prihatin terhadap invidu baru memeluk agama tauhid ini atau lebih dikenali sebagai mualaf.

Golongan mualaf bukan sahaja dianggap sebagai saudara dalam agama malah harus dibantu dan dibela sehingga mereka boleh berdikari sendiri.

Selain diletakkan sebagai salah satu asnaf yang layak menerima zakat, golongan saudara baru tersebut juga akan menerima sokongan dalam bentuk pengajaran agama, moral dan kewangan daripada majlis agama Islam di semua negeri di negara ini.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu  Terengganu (MAIDAM) tidak terkecuali memainkan peranan dalam perkembangan dan penyebaran Islam dalam kalangan mualaf.

Ada antara mualaf yang dibantu MAIDAM tersebut bukan sahaja mampu berdikari dan menjadi muslim yang baik malah kembali menyumbang kepada majlis agama Islam tersebut.

Antara mualaf yang menyerlah membantu MAIDAM dalam aktiviti penyebaran dan pengukuhan agama Islam dalam kalangan saudara baru terbabit ialah Muhamad Azlan Gan Abdullah, 48.

Pendakwah dari kaum Cina yang memeluk Islam pada tahun 1985 tersebut kini berkhidmat sebagai Ahli Skuad Cakna Muallaf Kita yang ditubuhkan MAIDAM sejak tahun 2013.

Muhamad Azlan Gan yang merupakan bapa kepada lapan orang anak berusia dalam lingkungan 25 hingga dua tahun bertanggungjawab mengajar individu yang baru memeluk Islam mengenal al-Quran menerusi bacaan Iqra dan ilmu tajwid.

Beliau berkata, setakat ini, terhadap 120 orang mualaf terdiri daripada kaum Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Filipina, Myanmar dan Kemboja menerima bimbingan agama di Kompleks Darul Hidayah, Kuala Terengganu.

"Sebanyak 13 kelas agama seperti fardu ain, akhlak, tauhid, sirah, Iqra dan al-Quran diadakan pada sebelah pagi dan malam di Kompleks Darul Hidayah yang juga merupakan pusat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kuala Terengganu.
"Saya berperanan mengajar bacaan Iqra dan tajwid kepada individu yang baru memeluk Islam di Kompleks Darul Hidayah ini," katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Muhamad Azlan Gan berkata, sebagai anggota Ahli Skuad Cakna Mualaf Kita, beliau juga berperanan membimbing dan memberi motivasi kepada saudara-saudara baru di sekitar Kuala Terengganu untuk menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.

Menurut beliau, pengalaman hidupnya sewaktu mula-mula memeluk Islam dahulu menjadi pedoman terbaik bagi untuk menyelami hati dan memahami cabaran saudara-saudara baru terbabit serta memudahkan komunikasi antara mereka.

Mengimbas penglibatannya di dalam Ahli Skuad Cakna Muallaf Kita, Muhamad Azlan Gan yang menetap di Kampung Banggol Lalang, Serada, Kuala Terengganu memberitahu, sebelum ini, beliau bekerja sebagai tukang rumah.

"Saya mencari rezeki sebagai tukang rumah selama 20 tahun sebelum ditemui pengurusan MAIDAM untuk berkhidmat sebagai Ahli Skuad Cakna Muallaf Kita pada tahun 2013.

"Jasa besar MAIDAM membantu saya selama ini dan peluang terbaik untuk menyumbang kepada masyarakat sebagai pendakwah terutama terhadap golongan mualaf menarik minat saya untuk menyertai skuad terbabit," jelas beliau.
Muhamad Azlan Gan memberitahu, beliau yang berasal dari keluarga penoreh getah di Kampung Awah, Temerloh, Pahang menerima hidayah memeluk Islam sewaktu berumur 15 tahun.

Ujar beliau, setahun sesudah memeluk Islam, beliau berkelana ke Terengganu dan menetap bersama keluarga angkat Melayu di Kampung Banggol Lalang, Serada, Kuala Terengganu.

"Saya dibantu MAIDAM untuk meneruskan pelajaran dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu dan mencarikan seorang guru fardu ain untuk mengajar saya ilmu fardu ain.

"Selepas waktu persekolahan, saya belajar fardu ain dengan guru, Allahyarham Wang Nawang Wan Ngah di Kampung Banggol Cempedak, Kuala Terengganu," katanya.

Muhamad Azlan Gan memberitahu, beliau juga mengikuti banyak program pengukuhan agama Islam anjuran MAIDAM sehinggalah melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita tempatan beberapa tahun kemudian.

Jelas beliau, walaun puluhan tahun berkelana, beliau tetap pulang untuk menziarahi keluarganya yang masih kekal dengan agama asal di Kampung Awah, Temerloh terutama pada sambutan Tahun Baru Cina.

No comments:

Post a Comment