Translate

Saturday, August 25, 2018

Terengganu masih harap ECRL dapat direalisasikan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Kerajaan negeri Terengganu masih berharap projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dapat direalisasikan walaupun pembatalan projek yang disokong kerajaan China itu telah diumumkan kerajaan Persekutuan kelmarin.
Menteri Besar Te­rengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (gambar kecil) berkata, pembatalan terus projek landasan kereta api yang menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur itu disifatkan sebagai satu kerugian besar kerana banyak proses awal pembinaannya telah dijalankan.

Beliau berkata, proses awal pembinaannya seperti pengambilan tanah untuk pembinaan laluan, stesen, terowong dan jambatan telah dilaksanakan.

“Sebagai contoh, proses pembinaan terowong telah dijalankan dan saya difahamkan penggalian sudah dilakukan sejauh lebih 50 meter. Satu kerugian sekiranya projek mega ini dibatalkan terus.

“Saya mencadangkan kerajaan Persekutuan agar memulakan proses tender baharu (projek ECRL) dilakukan melibatkan syarikat tempatan dengan usaha sama dari luar negara agar kos lebih munasabah,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai me­ngulas pengesahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang pembatalan projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) sebagai salah satu hasil lawatan kerja ke China baru-baru ini.

Projek ECRL bakal menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pantai Timur merentasi Kuantan, Pahang, Terengganu hingga ke Pengkalan Kubor, Kelantan sepanjang 688 kilometer.

No comments:

Post a Comment