Translate

Friday, August 31, 2018

Telur penyu yang dieram di pantai Semenanjung Malaysia diancam serangan kulat

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Telur-telur penyu yang dieram di kawasan pantai sekitar Semenanjung Malaysia dikesan mengalami ancaman jangkitan kulat yang menjejaskan peratus kejayaan penetasannya.

Pakar Bioteknologi Haiwan Perosak, Penyakit dan Mikrobial Universiti Malaysia Terengganu (UMT),  Dr. Siti Nordahliawate Mohamed Sidique berkata, kewujudan mikrofungi  dikenalpasti sewaktu melakukan aktiviti persampelan telur penyu di kawasan haiwan tersebut bersarang di sekitar Semenanjung Malaysia pada bulan Julai lalu.

"Aktiviti persampelan itu mendapati simptom jangkitan kulat sama yang dikenali sebagai Fusarium Solani Species Complex (FSSC) itu berlaku terhadap pelbagai spesies telur penyu  yang mendapat di beberapa lokasi pendaratan berbeza.

"Serangan jangkitan kulat tersebut telah menyebabkan pengurangan keberhasilan penetasan telur penyu yang sememangnya merupakan haiwan terancam dan diambang kepupusan pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! hari ini.

Siti Nordahliawate yang merupakan pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT berkata, status penemuan kulat FSSSC yang menjangkiti telur penyu  itu pertama kali ditemui di negara ini dan informasinya telah di laporkan di dalam Jurnal Malaysia Applied Biology yang merupakan makalah mencatat penemuan biologi gunaan di negara ini.


Spesies penyu yang mendarat di pantai Semenanjung Malaysia untuk bertelur ialah lipas, karah, agar dan belimbing dan antara kawasan pendaratannya ialah Pulau Rendang, Perhentian dan Pulau Tenggol di Terengganu; Pulau Tioman, Pahang; Segari, Perak dan Kamunting, Melaka. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment