Translate

Thursday, August 23, 2018

Rai Aidiladha dalam aman

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI dan MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam bersama ribuan jemaah me­nunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini.

Beliau yang mengenakan baju Melayu berwarna ungu tiba pada pukul 8.10 pagi.

Turut mengiringi ialah isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Selesai solat, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad kemudian menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk ‘Aidiladha sebagai manifestasi penyerahan kepada pencipta’.

Perdana Menteri menzahirkan rasa syukur kerana  umat Islam di negara ini dapat meraikan Aidiladha dalam keadaan aman dan tenteram di bawah pimpinan kerajaan baharu.

Menerusi video perutusan Aidiladha yang dimuat turun di laman Twitter dan Facebook miliknya, beliau berkata, keadaan di negara ini sudah pulih dan sambutan Aidiladha boleh diadakan dalam keadaan aman damai.

“Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam. Rakyat negara kita sekarang ini sudah tidak lagi berasa curiga terhadap kerajaan yang memerintah, yang memegang kepada lunas-lunas ajaran Islam dan kita bersyukur kerana-Nya,” katanya.
Di Shah Alam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 7,000 rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

Baginda tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.25 pagi diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad; Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Sementara itu, seba­nyak 25 ekor lembu termasuk seekor sumba­ngan kerajaan negeri akan dikorbankan dalam ibadah korban yang diadakan di perkarangan masjid itu semalam.
Di Ipoh, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyertai lebih 1,500 jemaah bagi menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Idris Shah II di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab. 

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris. 

Ketibaan baginda di masjid negeri pada pukul 8.30 pagi itu disambut Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu serta beberapa Exco Kerajaan Negeri. 
Di Kuala Terengganu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pula berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang.

Baginda yang tiba di masjid berkenaan pada pukul 7.50 pagi turut diiringi dua anakandanya, Tengku Muhammad Ismail yang juga Yang Dipertuan Muda Terengganu dan Tengku Muhammad Mua’az.

No comments:

Post a Comment