Translate

Thursday, August 9, 2018

Cubaan menghidupkan semula Geng Dek dilumpuhkan polis

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seorang bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara dan memiliki 12 rekod jenayah lampau sejak tahun 2001 bagai tidak serik apabila kembali menghidupkan kumpulan jenayahnya yang bermaharajalela di daerah ini sehingga berjaya ditumpaskan polis pada semalam.

Dalam serbuan pada pukul 5 pagi itu, lelaki berusia 38 tahun tersebut berjaya diberkas polis bersama isteri berusia 29 tahun dan dua lelaki dipercayai anggota Geng Dek berumur 32 dan 34 tahun di sebuah rumah di Kampung Nibong, Telemong dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Ali Mat Daud berkata, serbuan itu berjaya merampas lima telefon bimbit dan sebuah kereta Toyota Vios yang dipercayai kereta klon.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati Geng Dek yang baru dihidupkan semula itu terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kes samun, pecah rumah dan ugutan jenayah di sekitar daerah ini pada bulan Jun lalu.

"Dua kejadian tersebut iaitu ugutan jenayah dan pecah rumah dilakukan pada bulan Ramadan manakala satu lagi kes samun berlaku pada 3 Syawal lalu.


"Siasatan mendapati dalang utama Geng Dek baru dibebaskan dari penjara pada awal tahun ini sebelum merekrut anggota baru untuk menghidupkan kumpulan jenayah tersebut tidak lama kemudian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment