Translate

Wednesday, August 22, 2018

Pemuda dipenjara 12 tahun, 10 sebatan kerana dadah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas kesalahan memiliki 96.88 gram dadah jenis methamphetamine dua tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azam Ab. Aziz memerintahkan demikian selepas Mohd. Hakimin Kamarudin, 28, yang bekerja sendiri membuat pengakuan bersalah apabila pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 39(A) 2 Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan terhadap­nya.

Beliau juga memerintahkan teman wanita Mohd. Hakimin, Wan Hasnah Wan Salleh, 32, dibebaskan dan dilepaskan atas pertuduhan sama selepas kes­nya digugurkan pihak pendakwaan berikutan pengakuan bersalah lelaki tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Hakimin didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 96.88 gram di Plaza Tol Chukai, Kemaman pada pukul 6.30 petang, 28 Julai 2016.

Dadah tersebut ditemui di dalam kereta Perodua Alza yang turut  dinaiki Wan Hasnah sewaktu pemeriksaan polis di lokasi kejadian.

Mohd. Hakimin didakwa mengikut  Seksyen 39(A) 2 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun dan seumur hidup dan sekurang-kurangnya 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala Mohd. Hakimin dan masing-masing diwakili peguam bela, Ghazali Ismail serta Aida Shukri Khairi.

No comments:

Post a Comment