Translate

Thursday, August 23, 2018

Bina semula negara kini di landasan tepat

HARI ini genap 100 hari Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memerintah negara selepas ia berjaya mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Sebahagian besar rakyat yang menaruh harapan tinggi kepada pakatan tersebut sudah pasti memerhati dengan teliti sejauh mana ia berjaya mengemudi kerajaan Persekutuan dalam tempoh tersebut.

Mahathir yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei lalu mengambil masa 63 hari untuk melengkapkan senarai Kabinet termasuk lima daripadanya dalam kalangan Senator.

Kerajaan PH juga mewujudkan Majlis Penasihat Kerajaan dianggotai oleh Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Merican, Tan Sri Robert Kuok dan Prof. Jomo Kwame Sundaram untuk membantu kerajaan membentuk dasar dan program bagi memenuhi janji manifesto dalam tempoh 100 hari.

Antara buah tangan majlis tersebut setakat ini ialah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar dalam tempoh tiga bulan bermula 1 Jun sebelum ia dimansuhkan dan diganti de­ngan Cukai Jualan dan Perkhid­matan (SST) yang dijangka bermula pada 1 September ini.

Sebagai langkah menstabilkan harga petrol pula, RON95 dan diesel masing-masing dikekalkan pada harga RM2.20 dan RM2.18 seliter sekali gus memansuhkan sistem apungan terurus pada setiap minggu sebelum ini.

Selain itu, berlaku pembubaran beberapa agensi kerajaan yang disifatkan tidak efisien dan rombakan melibatkan peneraju syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman.

Tabung Harapan juga telah diwujudkan dan sehingga Mei lalu ia telah mencecah lebih RM175 juta. Tabung tersebut menjadi medium untuk rakyat membantu kerajaan mengurangkan hutang negara yang didakwa mencecah RM1 trilion.

Mengulas prestasi PH dalam tempoh 100 hari ini, penganalisis sosio-politik dan juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian menyifatkannya sebagai memuaskan.

Beliau berkata, prestasi PH agak baik berdasarkan kejayaan PH menunaikan dua janji manakala enam lagi dalam peringkat pelaksanaan.
“Tidak adil untuk kita menilai berjaya atau gagalnya sesebuah kerajaan dalam tempoh 100 hari. Begitupun bagi saya, PH telah menunjukkan ke­sungguhan dan asas yang baik untuk menunaikan janji-janji pilihan raya sepanjang tempoh tersebut.

“Pentadbiran Perdana Menteri dilihat memberi tumpuan dalam membanteras rasuah dalam sektor kerajaan selain meletakkan nilai akauntabiliti, amanah dan telus sebagai kriteria utama pelantikan pegawai kerajaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sivamurugan berkata, PH juga mempunyai kecenderu­ngan untuk memulihkan kembali ekonomi negara ini secara beransur-ansur.

Ujar beliau, walaupun ada kecenderungan segelintir rakyat negara ini yang mahu keputusan segera terutama melibatkan inisiatif mengurangkan kos sara hidup dan memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan, PH sepatutnya harus diberi masa untuk membuktikannya.

“Saya akui dua perkara tersebut perlu diambil lebih serius oleh PH terutamanya oleh kementerian-kementerian berkaitan kerana tidak dinafikan ia antara punca BN kalah pada PRU-14,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Rusdi Omar yang merupakan pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia turut bersetuju PH telah menunjukkan kesungguhan dan komitmen dalam memenuhi janji mereka kepada rakyat dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran.

Beliau berkata, rakyat perlu positif kerana secara realitinya, perubahan yang dijanjikan memerlukan masa dan tempoh 100 hari sememangnya tidak mencukupi bagi merealisasikan kesemua janji itu.

“Mengenai kajian terhadap projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur dan Rel Berkelajuan Tinggi pula, saya berpandangan PH perlu mengambil masa untuk lebih teliti tentang keperluannya sebelum membuat sebarang keputusan muktamad,” katanya.

No comments:

Post a Comment