Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGANU – Seorang pegawai teknikal Syarikat Air Terengganu (Satu) ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu.
Penahanan itu dilakukan sehari selepas seorang kontraktor syarikat pembekalan air itu diberkas suruhanjaya tersebut berhubung kes sama.
Sumber SPRM memberitahu, suspek berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 1 petang bagi membantu siasatan kerana disyaki telah berpakat dengan kontraktor terbabit melibatkan kes penipuan tuntutan kerja-kerja membaiki bumbung garaj Depoh Agihan Satu Gong Badak, Kuala Nerus yang sebenarnya tidak disiapkan.
“Lelaki tersebut ditahan reman tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM11,060 yang disyaki dilakukan seorang kontraktor berusia 50 tahun pada Disember 2017.
“Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Noor Adila Abd. Latif di Mahkamah Majistret di sini hari ini (semalam),” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sumber SPRM itu berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan seorang kontraktor Satu ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu pada tahun lalu.
No comments:
Post a Comment