Translate

Monday, August 13, 2018

Pondok Moden Maidam Besut ditutup 4 hari kerana virus beguk

BESUT – Pondok Moden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Besut di Kampung Padang Landak, Jerteh di sini terpaksa ditutup empat hari bermula hari ini berikutan penularan penyakit beguk melibatkan pelajar sekolah berkenaan.

Pengetuanya, Jusoh Mat berkata, langkah itu terpaksa diambil selepas lebih 20 pelajar lelaki sekolah agama berkonsep madrasah moden kelolaan Kerajaan Negeri Terengganu itu disahkan dijangkiti virus beguk dalam tempoh seminggu.

“Kesemua 450 pelajar termasuk 150 pelajar perempuan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bagi langkah pencegahan penularan penyakit beguk. Langkah ini diambil selepas mendapat syor daripada Pejabat Kesihatan Daerah Besut.

“Siasatan awal mendapati penyakit ini berpunca daripada seorang pelajar lelaki dijangkiti virus itu selepas melawat bapa saudaranya yang menghidap beguk di Kota Bharu, Kelantan pada hujung bulan lalu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut beliau, virus beguk tersebut kemudian merebak dalam kalangan pelajar lelaki yang tinggal di asrama sekolah dipercayai kerana pengkongsian gelas minuman.

Katanya, penyakit beguk itu hanya disedari selepas lebih 20 pelajar lelaki sekolah agama itu mengalami keperitan pada lidah sebelum kelenjar parotid mereka membengkak sejak seminggu lalu.

Kosmo! pada 3 Mac lalu melapor­kan, seramai 70 pelajar dan tiga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lipis, Pahang dijangkiti penyakit beguk. Akibat penyakit tersebut, Jabatan Kesihatan Pahang terpaksa memberi suntikan vaksin kepada mereka yang dijangkiti penyakit beguk selain dikuarantin.

No comments:

Post a Comment