Translate

Tuesday, August 7, 2018

UMT ajar peserta program Fertigasi Mini RTC Kampung Pela hasil baja Biowalit

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seramai 21 pengusaha tanaman timun yang menyertai program Fertigasi Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kampung Pela menerima ilmu pembuatan baja organik BioWalit daripada Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ketua Projek Usahawantani Hevotech@ Kampung Pela, Dr. Wan Zaliha Wan Sembok berkata, program yang mendapat tajaan Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Kementerian Pendidikan itu bertujuan membantu golongan sasar tersebut menghasilkan baja organik sendiri yang berkualiti tinggi dengan kos efektif.

Beliau berkata, kajian membuktikan penggunaan baja Biowalit yang diperbuat daripada najis burung walit dan mikrob berguna seperti, mikoriza, yis dan bakteria asid laktik bukan sahaja mengurangkan kos operasi petani sehingga 50 peratus malah terbukti mampu meningkatkan hasil tuaian sebanyak 20 peratus.

"Pembuatan baja organik Biowalit amat mudah dengan menggunakan teknologi biochar iaitu pembakaran tidak lengkap campuran najis burung walit dan mikrob berguna di dalam tong drum selama tiga jam sehingga menghasilkan arang hitam.

"Biowalit bukan sahaja mampu memegang air malah memiliki kandungan tinggi nutrien seperti nitrogen dan fosforus yang diperlukan untuk kesuburan tanaman," katanya selepas menyampaikan taklimat pembuatan baja Biowalit kepada petani terlibat di Pusat Pengendalian Hasil Tuaian Mini RTC Kampung Pela, Ajil di sini hari ini.


Turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Zulkefly Harun. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment