MOHD. AZLI ADLAN
KEMAMAN - Hasrat seorang atlet silat untuk mewakili negeri untuk Sukan Malaysia (Sukma) buat pertama kali tidak kesampaian apabila dia mati lemas di Pantai Teluk Kalong di sini semalam.
Mayat Shahir Aqil Shahrun, 19, ditemui terdampar di tepi pantai kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 4.30 pagi hari ini.
Turut hilang dalam kejadian pada pukul 6.23 petang semalam ialah dua rakannya, Khairil Ikmal Danial Zamzuradi dan Ahmad Daniel Firdaus Zubir yang juga berusia 19 tahun.
Bapa Shahir Aqil, Shahrun Ramli, 56, berkata, anak keempat dari lima beradik itu aktif dalam sukan pencak silat sejak berusia 14 tahun dan telah terpilih untuk menggalas cabaran kontijen Terengganu pada Sukma 2018 yang bakal berlangsung di Perak pada bulan depan.
"Sebenarnya Shahir Aqil telah terpilih untuk mewakili negeri pada Sukma 2016 di Sarawak lagi tetapi saya tidak memberi izin kerana mahu dia fokus pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
"Anak saya telah terpilih lagi ke Sukma Perak yang bakal berlangsung bulan depan. Dia amat teruja dan telah membuat persediaan rapi dengan menyertai pelbagai kejohanan dalam dan luar negara sejak tahun lalu," katanya ketika ditemui Kosmo! Online di pekarangan Unit Forensik Hospital Kemaman di sini hari ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan keriangan tujuh remaja menghabiskan cuti Hari Raya Aidiladha dengan mandi-manda di Pantai Teluk Kalong di sini berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka hilang dikhuatiri lemas. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment