Translate

Tuesday, August 14, 2018

Murid tahun enam mati lemas 
di Setiu Wetlands

SETIU – Mayat murid tahun enam yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras sungai ketika sedang mandi di Tanah Bencah Setiu berhampiran Laluan Santai Setiu, Pengkalan Gelap di sini kelmarin berjaya ditemui semalam.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd. Mazimi Mohamad berkata, mayat mangsa, Muhammad Nor Hafizul Norizan, 12, yang merupakan murid di Sekolah Kebangsaan Saujana di sini ditemui pada pukul 7.10 pagi.

“Salah seorang daripada ahli keluarganya bertindak memanjat sebatang pokok bakau di lokasi kejadian sebelum nampak mayat mangsa terapung pada kedudukan kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Penemuan itu kemudiannya dimaklumkan kepada pasukan mencari dan menyelamat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Terdahulu, beliau memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat berhubung kejadian lemas membabitkan Muhammad Nor Hafizul pada pukul 1 petang kelmarin.

Katanya, mangsa yang berasal dari Kampung Saujana di sini telah mandi-manda sambil mencari kepah bersama tiga rakan sekampungnya.

“Mangsa dihanyutkan arus deras sungai sewaktu mandi di lokasi kejadian. Kejadian berlaku dengan pantas menyebabkan tiga rakannya gagal menyelamatkannya sebelum memaklumkan insiden itu kepada penduduk kampung,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment